Friday, October 23, 2009

Real silap langkah




MADRID - Penyerang Real Madrid, Karim Benzema secara terbuka mengkritik corak permainan menyerang yang dipraktikkan kelab Sepanyol itu.

Kenyataan bintang Perancis itu sekali gus menambahkan lagi tekanan ke atas bahu jurulatih, Manuel Pellegrini yang kini bergelut mencari ramuan terbaik buat pasukan paling mahal di dunia itu.


RAUL (kiri) bertelagah dengan pertahanan AC Milan, Alessandro Nesta pada aksi Liga Juara-Juara kelmarin. Real Madrid tewas 2-3.


Benzema melontarkan kritikan tersebut selepas Real Madrid gagal menggunakan kelebihan ketika mendahului 1-0 di Santiago Bernabeu sebelum tumpas 2-3 kepada AC Milan dalam aksi Liga Juara-Juara kelmarin.

Pada perlawanan itu, Alexandre Pato muncul wira Milan apabila meledak gol kemenangan pada minit ke-88 selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2.

"Masalah kami ialah kami tidak bermain seperti apa yang dilakukan dalam latihan," kata Benzema.

"Ketika latihan, kami banyak membuka ruang di bahagian sayap untuk menembusi pertahanan lawan.

"Tetapi dalam permainan, kami gagal membuka permainan sehingga ke posisi sayap. Kami banyak bertembung sesama sendiri ketika bola bergerak di bahagian tengah."

Biarpun membelanjakan sekitar 250 juta euro (RM1.3 bilion) untuk membawa pemain bintang seperti Cristiano Ronaldo, Kaka, Benzema dan Xabi Alonso, Real dilihat masih bergelut untuk menembusi kekentalan pertahanan lawan dalam sesatu perlawanan penting seperti ketika era bimbingan Bernd Schuster dan Juande Ramos.

Begitupun, jurulatih Real itu tetap optimis dan sekali lagi meminta peminat The Galacticos supaya bersabar.

"Saya tidak begitu bimbang tentang kekalahan kepada Sevilla dan Milan iaitu pasukan yang kuat kami pernah jumpa setakat ini. Mereka adalah sebuah pasukan yang kukuh dan telah lama bermain sebagai satu pasukan," kata Pellegrini

0 comments: